Followers

Friday, January 1, 2010

Rindu benar saya dengan blog saya ini, sudah terabai sekian lama dek kerana melayan laman web sosial - Facebook. Namun, tempat jatuh lagi kan dikenang inikan pula tempat bermain, semestinya tempat saya bermula di dunia siber tidak akan saya lupakan malahan saya akan ke mari sekiranya ingin melapangkan fikiran dan berkongsi pendapat saya secara peribadi terhadap apa jua perkara yang saya rasa wajar untuk saya kongsikan bersama dengan pembaca blog ini.

Pada masa kini, rata-rata semua pihak membicarakan tentang 1 Malaysia gagasan yang diperkenalkan oleh Y.A.B Perdana Menteri. 1 Malaysia sebuah nama yang enak untuk disebut tetapi apakah kita memahami apakah maksud 1 Malaysia? Setiap individu mungkin mempunyai persepsi sendiri tentang 1 Malaysia berdasarkan kepada takrifan 1 Malaysia menurut Perdana Menteri sendiri.

Secara peribadi, saya rasa terlalu banyak aspek yang perlu diperbaiki dalam usaha kita mencapai matlamat 1 Malaysia yang jitu. Salah satu daripadanya adalah aspek budi bahasa orang Malaysia tak kira bangsa atau agama. Orang Malaysia tidak mengira di mana berada harus mempamerkan budi bahasa yang tinggi tanpa mengira pangkat dan darjat, tinggi atau rendah pangkat, tua atau muda, semuanya harus bertatasusila.

Apakah pendapat anda dengan perkhidmatan pelanggan yang diberikan oleh para peniaga? Adakah anda berpuas hati dengan layanan mereka? Saya tidak pasti di tempat lain tetapi apa yang pernah saya alami mungkin juga pernah dialami oleh anda dan kebanyakan rakyat Malaysia.

Beberapa minggu sudah saya pergi ke salah sebuah pasar raya di daerah tempat saya tinggal untuk membeli beberapa barang keperluan. Saya naik berang sewaktu saya menghulurkan wang untuk membayar harga barang saya ditanyakan pula "30 sen ada?", lantas saya menjawab "Kenapa kamu mesti minta 30 sen? Bukankah kamu mesti ada wang kecil?" sambil saya mengeluarkan syiling 30 sen dari dompet saya. Juruwang yang bertugas hanya tunduk mendiamkan diri sambil mengambil duit syiling yang saya berikan lalu membuka mesin wang untuk memulangkan wang baki. Apa yang saya lihat dalam mesin wang tersebut adalah lambakan wang syiling yang lebih daripada cukup untuk mengembalikan wang saya yang hanya memerlukan syiling 70 sen.

Juruwang memulangkan wang saya berserta resit tanpa melihat muka / mata saya dan tanpa mengucapkan 'terima kasih'. "No thank you?", saya berkata kepada beliau dan dengan selambanya dia memalingkan muka dan langsung tidak menghiraukan saya. Saya berlalu dari kaunter sambil berkata-kata dalam hati melampiaskan rasa tidak puas hati dengan layanan juruwang tadi.

Saya berfikir lama berkenaan perkara ini. Berfikir adakah kita sudah kehilangan kemanisan tutur bicara? Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Adakah ibu bapa yang gagal mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang tahu berbudi bahasa? Atau anak-anak ini yang tidak masuk ajar? Susah sangatkah nak mengucapkan 'terima kasih'? Atau mungkin di dalam mulut juruwang tersebut ada emas yang akan jatuh apabila beliau mengucapkan 'terima kasih'?

Adakah ini imej 1 Malaysia? Ini bukanlah insiden pertama saya tetapi sudah berkali-kali dan ada masa saya sebagai pelanggan pula yang mengucapkan 'terima kasih' kerana saya sudah dididik untuk sentiasa menghargai jasa orang lain.

Bagi saya tak guna kita cuba berada di tempat yang tinggi tetapi asas tempat kita berpijak tidak kukuh. Tidak guna kita berusaha membangun aspek luaran tetapi aspek dalaman masih terkuntang-kanting. Untuk itu, saya suka kembali kepada asas pembangunan modal insan cemerlang kerana insan yang cemerlang mampu menempa nama walau di mana sahaja beliau berada.

Mungkin saya terlalu emosi tetapi perkara ini harus kita fikirkan demi keharmonian dan kebahagiaan bersama.

No comments:

Post a Comment